Van rempuh lembu lalu terbalik. Kilometer 336.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Paka, Terengganu

(My Metro)
Published : March 7, 2017




Dungun: Tujuh penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan seorang pemandu cedera apabila van dinaiki mereka merempuh lembu sebelum terbalik di Kilometer 336.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Paka, malam tadi.

Kejadian jam 9.50 malam itu menyebabkan pemandu van, Jaafar Mamat, 55, cedera di kaki dan dada.

Penuntut, Zulizah Ochi, 22, dari Miri, Sarawak pula cedera di kepala manakala Omar Radzi, 22, patah kaki kanan.

Lima rakan mereka, Muhammad Bahri Abd Talib, 23, Nur Hamiza Mohd Alias, 22, Nur Hidayah Azis, 21, Nasorriah Nasir, 29, dan Wan Nur Hanani Wan Md 

Yusof, 21, cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Dungun.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas mengambil benih ikan untuk kajian.

Setibanya di tempat kejadian, van mereka merempuh seekor lembu yang melintas jalan sebelum kenderaan itu terbabas dan terbalik.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian itu.

- My Metro