(My Metro)
Published : March 7, 2017
Sungai Petani: Lelaki dipercayai warga Myanmar maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti menunggang motosikal Honda EX5 tanpa memakai topi keledar dalam perjalanan dari Sungai Lalang menuju ke Bukit Selambau.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kemalangan itu berlaku apabila mangsa menunggang motosikal melawan arus selain tiada lampu hadapan.
Menurutnya, mangsa cuba masuk ke laluan sebelah namun tiba-tiba datang sebuah lori menyebabkan dia tidak sempat mengelak dan bertembung.
“Akibat kemalangan itu mangsa tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kita tidak menemui sebarang pengenalan diri namun percaya dia adalah warga Myanmar dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
- My Metro