# News Source
(My Metro)
Published : March 11, 2017
Sungai Petani: Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang treler di Kilometer 105 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, hari ini.
Dalam kejadian 6.15 pagi itu, mangsa Muhammad Osman Ali, 23, berasal dari Pendang dalam perjalanan dari arah Gurun ke Butterworth, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, ketika kejadian itu, sebuah treler dari arah sama tiba-tiba dirempuh motosikal mangsa di bahagian belakang sebelah kanan menyebabkan dia tersangkut di celah tayar.
Menurutnya, akibat rempuhan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 56 tahun tidak cedera.
"Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- My Metro