Published : March 9, 2017
Port Dickson: Misteri kehilangan seorang nenek lebih empat jam, terjawab apabila dia ditemui di dalam longkang sedalam empat meter berhampiran rumahnya di Bandar Springhill, di sini, selepas terjatuh di situ, petang tadi.
N Angalai, 85, yang berjalan menggunakan tongkat dikatakan keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga pada pagi kejadian, sebelum ahli keluarga berusaha mencarinya.
Mangsa bagaimanapun ditemui orang awam yang melalui kawasan itu lalu menghubungi bomba untuk bantuan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Razif Mohmad Haris berkata, bomba menerima panggilan pada 3.57 petang sebelum sebuah jentera dengan kekuatan 11 pegawai dan anggota ke lokasi.
"Anggota terpaksa turun ke dalam longkang untuk memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera di kepala dan kaki. Bomba mengeluarkan mangsa menggunakan alat pengusung," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut.
- My Metro