(My Metro)
Published : March 5, 2017
Batu Pahat: Remaja putus kaki kanan dalam kemalangan tiga kenderaan di KM6 Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, dekat simpang Taman Melodi, di sini, 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kemalangan dipercayai berlaku ke atas remaja, Muhammad Asyraf Mohd Alias, 17.
Abdul Wahib berkata, remaja itu dipercayai tidak perasan kereta dari arah Tongkang Pechah yang membelok masuk ke simpang kanan berikutan hujan lebat dan tiada lampu jalan.
"Mangsa yang menunggang dari bandar menghala ke Tongkang Pechah tidak sempat mengelak, melanggar bahagian kiri kereta sebelum terbabas dan merempuh motosikal lain dari arah sama di depannya.
"Dia parah dengan kaki kanannya putus. Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemandu kereta itu kini disiasat sama ada cuai ketika membelok.
Katanya, siasatan termasuk sama ada kemungkinan pemandu itu tidak memerhati kenderaan dari arah bertentangan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
- My Metro