Basikal masuk laluan kereta, budak 12 tahun cedera dilanggar. Dari arah Kong-Kong menghala ke Masai, Johor Bahru.

# News Source
(My Metro)
Published : March 11, 2017
Orang ramai membantu mangsa
Johor Bahru: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera di kepala selepas terbabit dalam kemalangan ketika berbasikal secara berkumpulan dari arah Kong-Kong menghala ke Masai, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 9.40 pagi itu, pelajar tahun enam sebuah sekolah kebangsaan dekat Pasir Gudang itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa menunggang basikal secara berkumpulan antara tujuh hingga lapan orang secara melawan arus sebelum dilanggar sebuah kereta.

"Seorang penunggang basikal masuk ke laluan kereta menyebabkan pemandu yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sentosa, di sini, tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang basikal tercampak ke kiri jalan dan dibawa ke HSA untuk rawatan lanjut oleh orang awam.

Manakala, katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

- My Metro